Tidak Perlu Takut Dan Gusar Ambil Suntikan Vaksin COVID-19, Daftar Segera Di Aplikasi MySejahtera

SABTU, 6 MAC 2021

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni menggesa orang ramai khususnya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut mengambil vaksin COVID-19.

Katanya, ini adalah untuk perlindungan diri sendiri, keluarga dan orang lain serta usaha untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“Orang ramai tidak perlu takut untuk mengambil vaksin COVID-19 kerana ianya telah melalui pelbagai ujian dan diluluskan di peringkat antarabangsa.

“Sehingga kini, tiada berita atau masalah berkaitan vaksin COVID-19 ini,” katanya selepas menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Stadium Perpaduan Negeri, Petra Jaya pada Sabtu.

Pada 26 Februari lepas, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjadi pemimpin negeri Sarawak pertama menerima suntikan vaksin COVID-19.

Ketika ini, beberapa pemimpin Sarawak dan wakil rakyat daripada Kerajaan GPS dan pembangkang menerima suntikan vaksin COVID-19.

Ini kerana, mereka sentiasa berhadapan dengan rakyat di lapangan menerusi tugas mereka dan adanya vaksin COVID-19 dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada jangkitan COVID-19.

Justeru, orang ramai digesa untuk mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera di telefon pintar masing-masing bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

Sekiranya tidak mempunyai akses tersebut, mereka boleh mendaftarkan nama di Pejabat Daerah Kuching, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) masing-masing dan Klinik Kerajaan yang berdekatan. -EDISI UKAS

Share

add comment