5 Rumah Panjang Dalam Daerah Beluru Terima Sijil Pendaftaran JKKK Dan Watikah Pelantikan Setiausaha JKKK

AHAD, 7 MAC 2021

BELURU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu bekerjasama dengan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi memajukan rumah panjang. 

Pegawai Daerah Beluru Alfred Geling Ason berkata, ini penting kerana gandingan kerjasama ini akan memberikan kesan positif ke atas pembangunan dan perpaduan penduduk rumah panjang. 

“Setiap JKKK berperanan penting dalam melaksanakan tugas-tugas mengikut kemampuan terbaik menurut Undang-Undang Sarawak dan Malaysia.

“Di samping itu, merahsiakan segala maklumat sulit atau rahsia, dokumen-dokumen dan perkara-perkara yang berada dalam pengetahuan selama berkhidmat dan tidak menggunakan apa-apa maklumat sulit tersebut, dokumen dan pengetahuan untuk faedah diri sendiri.

“Dan, paling penting bekerjasama dengan KMKK dan ahli JKKK untuk memajukan rumah panjang masing-masing. 

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sijil Pendaftaran JKKK dan Watikah Pelantikan Setiausaha JKKK di Pejabat Daerah Beluru pada Jumaat. 

Antara JKKK yang menerima Sijil Pendaftaran JKKK dan Watikah Pelantikan Setiausaha JKKK ialah Rumah Justine Manai, Sungai Entulang, Bakong, Rumah Egang Sami, Sungai Selepin, Bakong, Rumah Emah Umbing, Sungai Liam, Bakong, Rumah Freddy Randi, Batu 18, Bukit Song, Bakong dan Rumah Sulutan Anai, Sungai Seputi, Bok, Tinjar. 

Tempoh pemegang jawatan dalam JKKK tersebut adalah bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022. -EDISI UKAS

Share

add comment