Anjung Usahawan Akan Dibina Di Kampung Tedungan, Limbang

AHAD, 7 MAC 2021

LIMBANG: Sebuah pusat perniagaan Anjung Usahawan akan dibina di Kampung Tedungan di sini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang pembinaan Anjung Usahawan ini membolehkan penduduk mengumpul, menjual dan memasarkan hasil tanaman dan kraftangan mereka bagi meningkatkan sosioekonomi. 

“Pembinaan Anjung Usahawan baru ini adalah Projek Rakyat yang akan memberi manfaat kepada penduduk setempat dari aspek sosioekonomi.

“Ianya untuk kemudahan penduduk setempat dalam memasarkan produk dan hasil tani. Peniaga dan pengusaha kedai makan juga turut menerima impak positif dengan terbinanya anjung tersebut.

“Selain menjana pendapatan penduduk, projek ini akan menjadi tumpuan dan menarik kehadiran pengunjung di sekitar Daerah Limbang ke Kampung Tedungan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak Anjung Usahawan di Kampung Tedungan pada Khamis. 

Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana dan teknikal bagi mengenal pasti kawasan tapak bagi projek pembinaan Anjung Usahawan baru di Kampung Tedungan.

Turut hadir  Pegawai Perancangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Limbang Sylvia ak Entalang, Pembantu Pegawai Perancangan JTS Polycap Peter Puro, Penolong Jurutera Majlis Daerah Limbang (MDL) Dayangku Fadzlynn Awangku Ahmad, Pemolong Jurutera MDL Helnee Jada dan jurutera NRDA. -EDISI UKAS

Share

add comment