Fasiliti Lengkap Dan Terancang Di PPV Pastikan Sistem Pendaftaran Vaksinasi COVID-19 Sistematik Dan Sempurna

ISNIN, 8 MAC 2021

MIRI: Fasiliti yang ada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Dato’ Permaisuri Miri ini lengkap dan terancang serta mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membolehkan aliran sistem pendaftaran vaksinasi diadakan dengan sistematik dan sempurna.

Perkara ini diakui sendiri Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin selepas mengetuai rombongan meninjau Program Suntikan Vaksin COVID-19 di Dewan Dato’ Permaisuri Miri pada Ahad.

“Saya perhatikan segala yang dijalankan di PPV ini diadakan dengan teratur dan cekap.

“Sistem yang digunapakai di sini juga adalah baik dan tempat duduk untuk mereka menunggu nampaknya selesa,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau Program Suntikan Vaksin COVID-19 di Dewan Dato’ Permaisuri Miri pada Ahad. 

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menyeru orang ramai untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di semua kemudahan yang disediakan kerajaan. 

“Saya berharap orang ramai akan terus mendaftar diri melalui MySejahtera untuk membuat persiapan bagi vaksinasi khasnya untuk fasa dua dan fasa tiga akan datang. 

“Daftarlah awal dan jangan tunggu sampai saat akhir supaya Pejabat Kesihatan boleh persiapan supaya kita tahu berapa orang atau mereka yang bersedia menerima vaksinasi ini. 

“Bagi mereka yang mempunyai telefon bimbit dan telefon pintar, mereka bolehlah mendaftar melalui MySejahtera dan bagi mereka yang tiada kemudahan itu, boleh mendaftar dengan mengisi borang di pejabat daerah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) atau jawatankuasa penduduk di bawah Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Baram,” ujarnya. 

Beliau turut memberikan semangat kepada bakal penerima suntikan vaksin agar tidak perlu khuatir atau bimbang kerana kerajaan telah memastikan vaksin Pfizer-BioNTech selamat dan berkesan serta tidak membawa sebarang reaksi yang teruk terhadap tubuh badan.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Tudan Dr Maurice Steve Utap, Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof dan wakil Pemangku Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang. -EDISI UKAS

Share

add comment