Gunakan Sebaik-Baiknya Peruntukan MRP Untuk Kesejahteraan Rumah Panjang

ISNIN, 8 MAC 2021

MARUDI: Setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Mulu membelanjakan peruntukan yang diberikan dengan amanah dan telus. 

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala berkata, ini bagi memastikan setiap perancangan program yang akan dilaksanakan dapat dilakasanakan dengan jayanya. 

“Pada hari ini diadakan Majlis Penyerahan Cek Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Mulu dalam norma baharu dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya di Majlis Penyerahan Cek Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Mulu di Pusat Khidmat DUN Mulu pada Sabtu. 

Di samping itu, Dato Gerawat turut menasihatkan tuai-tuai rumah memantau keadaan kampung mereka serta anak-anak buah bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa dipelihara dan dilindungi. 

Pada majlis itu, beliau telah menyerahkan cek MRP kepada tiga buah JKKK iaitu JKKK Rumah Judan Sungai Dabai sebanyak RM10,000, JKKK Rumah Lalo, Sungai Selejau sebanyak RM5,000 dan JKKK Kuala Tutoh sebanyak RM3,500 serta 117 kad keahlian baru PBB. 

Hadir sama Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Bundan dan Ahli Majlis Daerah Marudi Kaunselor Yanti Anak Nyanggau. -EDISI UKAS

Share

add comment