JPBB Bintulu Sasar 181,000 Penduduk Mendaftar Sebagai Penerima Vaksin COVID-19

ISNIN, 8 MAC 2021

BINTULU: Masyarakat terutama mereka yang tinggal di Bahagian Bintulu ini diminta untuk mendaftarkan diri bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 ini. 

Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat berkata, mereka boleh mendaftarkan diri dengan menggunakan aplikasi MySejahtera atau bersemuka dengan mendaftar di pejabat daerah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan klinik-klinik kesihatan yang berhampiran. 

“Saya juga menyeru semua terutama mereka yang tinggal di Bintulu ini untuk sama-sama mendaftar diri bagi mereka yang belum mendaftar di Aplikasi MySejahtera. 

“Selain itu, orang ramai boleh juga mendaftarkan diri untuk menerima vaksin COVID-19 di pejabat-pejabat daerah, KMKK dan klinik-klinik kesihatan terdekat,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menerima suntukan vaksin COVID-19 di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu pada Sabtu.

Jelas Jack Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu, menegaskan pihaknya masih belum berpuas hati terhadap bilangan pendaftaran yang diterima ekoran pihaknya menyasarkan sejumlah 181,000 termasuk Daerah Tatau dan Sebauh.

“Sehingga kini, sebanyak 9,758 penduduk telah mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin dengan menggunakan aplikasi MySejahtera bagi Daerah Bintulu.

“Manakala, pendaftaran secara manual masing-masing 766 bagi Daerah Bintulu, 3,305 bagi Daerah Tatau dan 3,952 penduduk telah mendaftar diri untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi Daerah Sebauh,” tegasnya. 

Selepas fasa pertama ini, akan diikuti fasa kedua dan ketiga yang terbuka kepada orang ramai sehingga bulan Ogos 2021. -EDISI UKAS

Share

add comment