Liga Premier: Sarawak United Bermula Langkah Kanan

AHAD, 7 MAC 2021

KUCHING: Pasukan Sarawak United FC memulakan kempen Liga Premier 2021 dengan bergaya selepas berjaya menundukkan Kelantan United FC dengan jaringan 2-0 dalam aksi berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.

Kedua-dua gol skuad bimbingan Elavarasan Elangowan itu dihasilkan pada babak pertama.

Gol pertama dijaringkan pada minit ke-11 oleh Christie Jayaseelan selepas menerima lorongan cantik dari penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo.

Mat Yo kemudian menjadi arkitek kepada gol kedua pasukannya selepas beliau dijatuhkan pertahanan lawan dalam petak bahaya sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada Sarawak United.

Pemain import Sarawak United, Uche Agba tenang menewaskan penjaga gawang Kelantan United, Mohammad Fikri Che Soh pada minit ke-31 untuk gol kedua.

Uche berpeluang menambah gol ketiga Sarawak United pada masa kecederaan namun percubaan lemah dan mudah ditampan Mohammad Fikri.

Sarawak United akan meneruskan kempen menentang Perak FC II di Stadium Perak Ipoh pada 10 Mac ini. – EDISI UKAS

Share

add comment