Mengambil Vaksin COVID-19 Membolehkan Bergerak Ke Mana-Mana Sahaja Dengan Rasa Selamat

ISNIN, 8 MAC 2021

MARUDI: Orang ramai khususnya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi tidak perlu takut atau gusar dalam mengambil vaksin COVID-19 ini.

Menurut Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, apabila mengambil vaksin ini ianya bukan sahaja melindungi diri dan keluarga, tetapi juga orang sekeliling. 

“Saya difahamkan selepas menerima suntikan vaksin ini kali kedua, kita akan menerima satu pas sebagai ganti diri. 

“Dengan adanya pas ini membolehkan kita bergerak ke mana-mana sahaja dengan rasa selamat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Suarah Marudi selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Marudi pada Ahad. 

Kehadiran Datu Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi ke PPV Daerah Marudi bertujuan mendengar makluman balas daripada pihak pengurusan mengenai keperluan yang diperlukan selain memberikan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang menerima suntukan vaksin ini. 

Beliau meminta kerjasama daripada KMKK di Daerah Marudi supaya membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi untuk mewar-warkan kepada penduduk masing-masing untuk mendaftar diri menerima vaksin dan kepentingan pemberian vaksin ini demi keselamatan bersama. 

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Marudi Norlila Ulis, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Edward Mendai dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Marudi. -EDISI UKAS

Share

add comment