Pengerusi Dewanita Bahagian Mukah Dinobat Ikon Insani, Anugerah Wanita Waja 2021

ISNIN, 8 MAC 2021

BALINGIAN: Sambutan Hari Wanita 2021 yang diraikan pada 8 Mac di seluruh dunia menjadi detik manis buat Pengerusi Dewanita Bahagian Mukah, Fatimah Narawi, selepas beliau menjadi satu-satunya individu dari Sarawak dipilih sebagai Ikon Insani bagi Anugerah Wanita Waja 2021.

Berasal dari Kampung Pulat, Balingian, wanita cekal berusia 56 itu cukup dikenali masyarakat setempat di Mukah kerana penglibatannya yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Antaranya sumbangan beliau adalah menyumbangkan makanan kepada petugas barisan hadapan bersama Jabatan Residen Mukah, memberi sumbangan kepada anak yatim di Rumah Peryatim Bintulu bersama Perkim Cawangan Balingian, menyumbang kepada Madrasah Mukah dan kerjasama Perkim Cawangan Balingian serta membantu keluarga yang kurang berkemampuan melalui kerjasama Perkim cawangan Balingian 2019-2020.

Atas penglibatannya yang aktif, beliau pernah menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah untuk Cawangan Perkim untuk Negeri Sarawak, Pekerja Cemerlang di Jabatan Perpaduan dan Bintang ABS dari TYT Sarawak 2019-2020.

Selain bergelar usahawan, ibu kepada empat anak itu juga merupakan Pengerusi Perkim dari 1997-2021, Timbalan Pengerusi Wanita PBB Cawangan Kampung Pulat N.58 Balingian 2017-2021 dan Biro Penerangan Wanita N.58 Balingian.

Beliau juga pernah menyandang pelbagai jawatan lain dalam NGO antaranya Pengerusi PPWS Kawasan Sibu/Sarikei/Kapit 2018-2020, Timbalan Pengerusi Daerah Mukah 2018-2020, AJK Lakib (Lembaga Amanah Kebajikan Islam Balingian) 2018-2020, Timbalan Pengerusi Persatuan Ibubapa TRS school Mukah dan Pengerusi KRT Kpg Pulat Balingian 2018-2020.

Fatimah juga kaya dengan pengalaman bekerja antaranya pernah menjaga anak pekerja di LNG Bintulu (1982), penyelia di Laina Enterprise di LNG (1983), membuka Tabika secara Sukarela tanpa gaji (1984-198), mengajar Kelas Dewasa sebelah petang (KPR Jabatan Perpaduan) 1984-1986, Pembantu Guru Tabika Perpaduan (1986), Guru di Jabatan Perpaduan (1987-2010) dan Pengurus Fatma Enterprise & Fatma Cafe & Catering (2010-2021).

Beliau memulakan perniagaan makanan sejak 1990 hingga sekarang dan berkembang ke segmen lain apabila Fatma Enterprise menambah bidang tugas seperti pemasangan paip, elektirk, penghawa dingin, membekal barang, kontraktor rumah PPRT dan mempunyai lesen CIDB.

Berkongsi resepi kejayaannya dengan UKAS, Fatimah berkata setiap bidang yang diceburi haruslah dibuat serius agar ianya memberi nilai dalam diri sendiri dan masyarakat.

“Memang ada cabaran dalam melaksanakan aktiviti masyarakat, pada masa yang sama ada perniagaan yang perlu diteruskan dan juga keluarga yang perlu diberi tumpuan.

“Walau bagaimanapun, dengan niat sukarelawan dalam masyarakat ini terdorong atas dasar ingin melihat masyarakat kita terus terdorong ke hadapan dengan sedikit sentuhan kita, tidak kiralah dalam aspek kebajikan, sosial, mahupun pendidikan.

“Semangat sukarelawan pula perlu disemai kepada semua lapisan masyarakat agar dapat melahirkan masyarakat yang prihatin, berwaspada dan bertanggungjawab.

“Dengan ada sikap sebegini, mengeratkan lagi perpaduan dikalangan kita dalam sesebuah masyarakat yang pelbagai corak latarbelakang,” katanya.

Beliau dalam pada itu bersyukur kerana terpilih menjadi Ikon Insani bagi Anugerah Wanita Waja 2021 dan berharap anugerah itu akan terus menjadi pencetus semangat dan inspirasi bagi dirinya dan wanita-wanita luar sana. – EDISI UKAS

Share

add comment