Program SABERKAS Prihatin Dilancarkan, Perkasa Peranan Bantu Komuniti

ISNIN, 8 MAC 2021

KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) melancarkan program SABERKAS Prihatin bagi memperkasa usaha dan peranan mereka dalam membantu komuniti setempat di negeri ini.

Presiden SABERKAS yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, SABERKAS memperuntukkan dana sebanyak RM246,000 bagi program tersebut dengan menyasarkan penglibatan 82 Saberkas Cawangan yang telah dan akan ditubuhkan.

“Program Saberkas Prihatin akan memperuntukkan sejumlah dana bantuan sebanyak RM3,000 kepada SABERKAS Cawangan yang layak serta telah mengemukakan permohonan,” katanya dalam Program Perasmian SABERKAS Prihatin pada Isnin.

Sementara itu, Datuk Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak menambah, bantuan tersebut diberikan secara inklusif bagi orang yang memerlukan.

“Bantuan ini akan diberikan kepada golongan yang terkesan merangkumi bencana banjir, tanah runtuh, kebakaran, gotong-royong dan alam sekitar, kesihatan semasa atau wabak penyakit dan golongan memerlukan seperti gelandangan, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga susah,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, program baharu itu juga akan dikelolakan oleh Jawatankuasa Kecil Sosial dan Kebajikan SABERKAS dengan kerjasama SABERKAS Cawangan.

“Selain itu, kita juga akan menjalinkan kerjasama bersama agensi-agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya,” katanya.

Untuk rekod, pada tahun 2020 SABERKAS telah menjalankan sebanyak 144 aktiviti melibatkan bengkel, forum, kursus kemahiran, aktiviti sukan, sosial kemasyarakatan, kebajikan, pendidikan, latihan, ekonomi dan keusahawanan serta pertanian.

Hadir sama, Timbalan Presiden SABERKAS yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Agung SABERKAS merangkap ADUN Daro, Safiee Ahmad serta barisan tertinggi SABERKAS. -EDISI UKAS

Share

add comment