Sarawak Skills Dan i–CATS Sebagai Penjana Sumber Tenaga Mahir

ISNIN, 8 MAC 2021

KUCHING : Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS akan memainkan peranan penting sebagai penjana sumber tenaga mahir dalam pelbagai teknologi baru di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia sejajar dengan kenaikan taraf i-CATS sebagai sebuah kolej universiti dimana kemudahan akan dipertingkatkan dengan memfokus kepada pembangunan ilmu teknologi, penyelidikan dan kejuruteraan teknologi aero.

“Sejajar dengan naiktaraf tersebut, kerajaan Sarawak akan mempertingkatkan kemudahan di universiti terbaru ini yang akan menfokuskan kepada pembangunan ilmu teknologi, penyelidikan dan kejuruteraan teknologi aero.”

“Saya percaya bahawa dengan penekanan kepada teknologi universiti ini dapat menghasilkan para teknokrat dan juga mereka yang mahir didalam industri – industri yang baru yang akan mengubah pendekatan pembangunan ekonomi negeri Sarawak yang berteraskan kepada digital ekonomi.” katanya semasa menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-23 Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS pada Isnin di Kuching.

Beliau menambah, dalam perkembangan dunia masa kini, gas hidrogen akan menjadi tenaga utama di masa hadapan dalam kelestarian pembangunan lebih-lebih lagi Sarawak kini telah mendahului negeri–negeri lain dalam merintis penggunaan hidrogen.

Ini khusus jelasnya, dalam sektor pengangkutan dan salah satu pengerak utama ke arah ekonomi hidrogen serta pembangunan sumber manusia mahir.

“Salah satu pengerak utama kearah ekonomi hidrogen adalah pembangunan sumber manusia atau capacity building human resources. “

“Saya yakin institusi seperti Sarawak Skills dan Kolej University i-CATS memainkan peranan sebagai penjana sumber tenaga mahir atau specialist dalam pelbagai teknologi baru termasuk pembangunan penggunaan gas hidrogen dan teknologi digital yang menjadi pemangkin kepada ekonomi masa kini.” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri akan membangunkan kampus baru Kolej Universiti i-CATS lebih baik seperti universiti-universiti milik kerajaan negeri yang lain. -EDISI UKAS

Share

add comment