Seramai 42 Peserta Kluster Penanaman Anak Jagung Dari Serembu Terima Peralatan Pertanian

ISNIN, 8 MAC 2021

BAU: Seramai 42 peserta kluster penanaman anak jagung kawasan Serembu menerima mesin penggembur tanah dan pam penyembur racun dan baja pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, menerusi bantuan pertanian tersebut, ia akan merancakkan lagi aktiviti pertanian di luar bandar khususnya di kawasan Serembu.

Menurutnya, kluster pertanian yang diberikan tersebut adalah berkenaan dengan penanaman anak jagung di kawasan Krokong membabitkan keluasan tanah seluas lebih kurang 60 ekar.

“Saya melihat pada semangat dan kerjasama yang diberikan oleh semua peserta dan saya yakin projek ini akan berjaya dan satu hari nanti dapat mengubah skala pendapatan petani-petani yang terlibat dalam projek ini.

“Pada hari ini kita telah buat penyerahan mesin pengembur tanah dan juga alat penyembur untuk aktiviti penanaman anak jagung dan selepas ini akan diikuti dengan bantuan baja dan anak benih,” katanya semasa program penyerahan peralatan pertanian kepada peserta kluster penanaman anak jagung di Balairaya Kampung Batu Sepit Krokong, pada Isnin.

Tambah Miro, para peserta juga akan mendapat bantuan nasihat dan kepakaran berkaitan daripada pihak Jabatan Pertanian Daerah Bau.

“Ini merupakan salah satu kluster yang dibawa ke Serembu berkenaan dengan kluster-kluster pertanian, malah ada beberapa lagi produk lain yang kita cuba bawa untuk mempelbagaikan lagi industri pertanian di kawasan Serembu,” ujarnya lagi.

Program anjuran Jabatan Pertanian Daerah Bau itu adalah di bawah Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) DUN Serembu melibatkan peserta dari Kampung Batu Sepit dan Kampung Peros.-EDISI UKAS

Share

add comment