Hasbi Pantau 5 Projek Pembangunan Di Kawasan Parlimen Limbang

SELASA, 9 MAC 2021

LIMBANG: Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah bersama dengan agensi-agensi pelaksana telah turun padang bagi meninjau kemajuan terkini projek-projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2020 Parlimen Limbang pada Isnin.

Antara projek-projek RTP yang dilawati ialah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Rumah Jampong, Melaban, Tapak Projek RTP Menaik Taraf Jambatan Gantung Kampung Long Serangan, Tapak Projek RTP Membina Jalan Dari Kampung Bukit Luba ke Kampung Remuyu Fasa 2, Tapak Projek RTP Membina Parit Konkrit di Rh Babai, Kampung Bukit Berayung dan Tapak Projek RTP Membina Culvert dan Menyimen Hadapan Dewan Rumah Ajut. 

Projek pertama yang dilawati ialah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) ke Rumah Jampong, Melaban yang sedang dilaksanakan semula setelah sekian lama terbangkalai di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Selepas itu, beliau meninjau Projek RTP Menaik Taraf Jambatan Gantung Kampung Long Serangan yang bernilai RM170,000 dan kini telah siap 60 peratus, dan boleh digunakan penduduk kampung khususnya pelajar-pelajar yang berjalan kaki ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Batu.

Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang meneruskan walkabout dengan melawat Projek RTP Membina Jalan dari Kampung Bukit Luba ke Kampung Remuyu Fasa 2 yang bernilai RM150,000 dan kini siap 85 peratus. 

Dari Kampung Bukit Luba, beliau dan rombongan terus bergerak ke Rumah Babai, Kampung Bukit Berayung untuk meninjau perkembangan terkini Projek RTP Membina Parit Konkrit bernilai RM150,000 di rumah panjang berkenaan yang kini baru siap 20 peratus dan lewat daripada jadual asal. 

Mengakhiri walkabout, rombongan melawat Projek RTP Membina Culvert dan Menyimen Hadapan Dewan Rumah Ajut, Kampung Kubong yang bernilai RM80,000 dan siap sepenuhnya pada 9 Febuari lalu.

Secara keseluruhannya, ada projek yang perlu dilawati dan dipantau agensi pelaksana khususnya projek yang lewat dari jadual asal supaya ianya dapat disiapkan mengikut jadual untuk manfaat penduduk setempat. 

Hadir sama Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang Noor Ismail Razali, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Limbang Anisah Ahmad dan Pemanca Jun Silah. -EDISI UKAS

Share

add comment