Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat Panglima Tentera Darat

SELASA, 9 MAC 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa.

Ketika ditemui selepas itu, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose memberitahu, kunjungan hormat tersebut merupakan kunjungan sulung beliau sejak menjawat jawatan Panglima Tentera Darat Ke–28 pada 11 Jun tahun lepas.

Tambah beliau lagi, kunjungan itu juga bagi memaklumkan mengenai perkembangan aktiviti sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke–88 khususnya Program Jiwa Murni yang dilaksanakan di Sarawak.

“Terima kasih atas kerjasama Kerajaan Negeri kerana telah memperuntukkan RM1.5 juta untuk menjayakan projek tersebut.

“Terdapat 24 projek kita buat dengan peruntukan diberi dan saya telah memaklumkan perkembangannya kepada Ketua Menteri, 38 peratus projek yang telah diperuntukkan tersebut telah dilaksana,” katanya.

Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose turut memberitahu, beliau turut membincangkan mengenai rancangan pembinaan empat buah pos imbangan di sempadan dan juga keperluan pembinaan kem di Bintulu bagi pasukan Batalion Ketujuh Rejimen Sempadan (7 RS).

“Terima kasih juga kepada Ketua Menteri kerana telah  meluluskan tanah-tanah pada empat lokasi tanah yang telah diluluskan sepanjang sempadan antara Sarawak dan Kalimantan.

“Untuk pembinaan kem di Bintulu, kita juga hendak mendapat pandangan daripada Kerajaan Negeri mengenai pembinaan kem tersebut,” ujar beliau lagi.

Turut sama dalam kunjungan itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mardzuki bin Muhammad, Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Dzulkafli Mustaffa dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi Sarawak), Dato’ Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki. -EDISI UKAS

Share

add comment