Anjung Usahawan Dan Taman Perindustrian Sematan Rancakkan Ekonomi Di Daerah Sematan

RABU, 10 MAC 2021

SEMATAN: Anjung Usahawan dan Taman Perindustrian Sematan yang kini sedang dalam pembinaan dijangka akan merancakkan lagi ekonomi di daerah yang terletak di hujung Sarawak itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Projek Anjung Usahawan itu merupakan langkah Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk di Daerah Sematan yang terkenal dengan hasil laut dan tanaman.

“Projek yang bernilai RM3.8 juta ini dijangka akan memberikan manfaat kepada peniaga-peniaga kecil khususnya di Telok Melano.

“Ini sekaligus merancakkan lagi aktiviti ekonomi sesuai dengan potensi Telok Melano sebagai sebuah pusat ekopelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mendengar penerangan mengenai operasi dan perkembangan terkini pembinaan Anjung Usahawan tersebut pada Rabu.

Selepas itu, Datuk Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak turut mengadakan tinjauan untuk melihat Projek Taman Perindustrian Sematan.

Tambah beliau lagi, Taman Perindustrian Sematan yang bernilai RM8.5 juta dan dibiayai Kerajaan Sarawak dijangka siap sepenuhnya pada 22 Disember 2021. – EDISI UKAS

Share

add comment