Projek RTP Perluaskan Jaringan Pembangunan Di Kawasan Luar Bandar

SELASA, 10 MAC 2021

TATAU: Sebanyak 10 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus kini sedang dilaksanakan di Daerah Tatau dengan ada sebahagiannya telah pun siap. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, kesemua projek RTP  ini adalah inisiatif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperluaskan jaringan pembangunan di kawasan luar bandar. 

“Pada hari ini, kami telah melawat 10 kawasan Projek RTP DUN Kakus bermula dari Nanga Tatau. 

“Sebanyak RM5 juta telah diperuntukan di bawah RTP DUN Kakus untuk tahun 2020. 

“Di Tatau sahaja terdapat 15 projek pembangunan, 10 Projek RTP kawasan Selangau dan 8 Projek RTP lagi di Bawan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyaksikan Penyerahan Transformasi Luar Bandar (RTP) Projek Membina Benteng dan Menimbus Hadapan Rumah Dickson Pedas Kana, Jalan Sangan Tatau pada Selasa. 

Datuk John Sikei yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus menambah untuk Projek PPRMS setiap DUN telah diperuntukan sebanyak RM1 juta secara berperingkat dengan setiap peringkat berjumlah RM500,000. 

“Setiap pintu rumah panjang akan diperuntukan bantuan alat bantuan binaan dengan peruntukan RM2,000 hingga RM2,500. 

“Bahan binaan tersebut terdiri dari atap sependek, batu bata dan sebagainya.

“Bantuan seperti ini amat berguna untuk masyarakat luar bandar dan rumah panjang dan ianya diteruskan pada masa akan datang,” katanya. 

Beliau turut menyaksikan penyerahan Projek RTP Menaik Taraf Jalan Konkrit Depan Rumah Ulen, Tekalit, Tatau dan penyerahan Projek RTP Menaik Taraf Jalan Rumah Enjan Gos. 

Sementara itu, Tuai Rumah Enjan Gos yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus dan Kerajaan GPS yang telah menaik taraf jalan ke rumah panjang mereka demi keselesaan dan kemudahan penduduk setempat.  

“Saya berasa gembira dengan projek jalan simen 750 meter menuju rumah panjang saya. 

“Ini sekaligus memudahkan penduduk di rumah panjang keluar ke pasar Tatau dengan mudah dan selesa,” ujarnya. 

Antara Projek RTP lain yang dilawati ialah Projek Merata Tapak Rumah Jelia, Nanga Sepurun, Ulu Anap, Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di Rumah Tedung, Jalan Sangan Merit, Projek PPRMS di Jampi, Jalan Sangan Merit dan Projek Pembesaran dan Naik Taraf  Tapak Rumah Panjang Rumah Rawing dan Rumah Pandong. 

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong dan Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu Ngu Tie Hua. -EDISI UKAS

Share

add comment