Pusat Rehabilitasi Sukan Berprestasi Tinggi Sarawak Mula Beroperasi

RABU, 10 MAC 2021

KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) telah menjalin kerjasama dengan Rehab Concept untuk menubuhkan Pusat Rehabilitasi Berprestasi Tinggi bertempat di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya.

Pusat tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan pada Rabu.

Menurut Datuk Snowdan, Sarawak bertuah kerana menjadi antara negeri yang mempunyai pusat rehabilitasi sukan berprestasi tinggi yang bertujuan membantu atlet pulih dari kecederaan dengan segera dan selamat.

“Pusat ini adalah Pusat Rehabilitasi Berprestai Tinggi yang ditubuhkan menerusi kolaborasi bersama Perbadanan Sukan Sarawak di bawah Unit Berprestasi Tinggi (HPU).

“Ia telah memulakan operasinya sejak Januari 2020 dan hingga kini merawat seramai 109 atlet dari 23 jenis sukan.

“Rehab Concept telah menyokong SSC sejak Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 dengan memberi manfaat kepada atlet-atlet negeri dalam pelbagai bentuk perkhidmatan fisioterapi,” katanya dalam sidang media.

Menurut Datuk Snowdan, antara kecederaan sukan yang sering berlaku seperti masalah pada belakang, ketegangan otot, ketegangan ligamen, kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL), tisu koyak pada lutut serta masalah otot pada kaki dan bahu.

Jelasnya, rehabilitasi selepas kecederaan sangat penting untuk membantu atlet meneruskan latihan secepat yang mungkin.

Beliau menambah, kerjasama itu juga merupakan usaha dalam membantu Sarawak mencapai visi dan misi muncul sebagai negeri Kuasa Sukan pada 2024.

Hadir sama Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Nancy Jolhi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSC, Dr Ong Kong Swee. – EDISI UKAS

Share

add comment