Semua ADUN Dan Ahli Parlimen GPS Boleh Guna Geran RTP Bagi Projek Jiwa Murni: KM Abang Zohari

RABU, 10 MAC 2021

GEDONG: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh menggunakan geran tahunan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk melaksanakan Projek Jiwa Murni di kawasan masing-masing.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, setiap wakil rakyat GPS telah diperuntukkan geran RTP sebanyak RM5 juta setahun untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan DUN dan Parlimen mereka.

Menurutnya, program berpaksikan rakyat yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi Projek Jiwa Murni amat berkesan dan memberi impak seperti membantu membaiki kediaman, tempat ibadat dan lain-lain.

“Saya telah berbincang dengan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dalam memperluaskan kerjasama antara kerajaan negeri dan TDM khususnya dalam Projek Jiwa Murni.

“Kerajaan negeri bersedia kerana kita ada peruntukan RTP, namun ini bergantung kepada kelapangan dan komitmen anggota tentera dalam membantu menjayakan Projek Jiwa Murni,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Jiwa Murni Peringkat Parlimen Batang Sadong yang merangkumi DUN Gedong, DUN Simunjan dan DUN Sadong Jaya pada Rabu.

Program Jiwa Murni peringkat Parlimen Batang Sadong itu membabitkan 21 projek dengan peruntukan RM1.5 juta daripada kerajaan Sarawak dan mula dilaksanakan pada 15 Februari lepada dan dijangka siap pada 30 April tahun ini.

Terdahulu, ketika berucap, Ketua Menteri memberitahu, Projek Jiwa Murni di kawasan berkenaan melibatkan seramai empat pegawai dan 122 anggota daripada Pasukan Tiga Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja dan pasukan-pasukan lain di Sarawak.

Tambah beliau, ketika ini kerajaan negeri memberi tumpuan ke arah pelan ekonomi pasca pandemik COVID-19 bagi membuka peluang ekonomi dan pekerjaan bagi rakyat Sarawak.

Sementara itu, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain memberitahu, salah satu program yang dirangka untuk Sambutan Hari Tentera Darat tahun ini adalah Projek Jiwa Murni yang melibatkan kerjasama tentera darat bersama kerajaan negeri untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

“Di antara projek yang dilaksanakan adalah pembaikan rumah penduduk serta peningkatan kemudahan awam seperti pembinaan titi, penyelenggaraan masjid dan surau, tanah perkuburan, dewan dan sebagainya,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Perdagangan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak merangkap ADUN Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais, Setiusaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, ADUN Simunjan, Awla Dris dan ADUN Sadong Jaya, Aidel Lariwoo.

Panglima Medan Timur TDM, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Panglima 1 Divisyen Infantri, Mej Jen Datuk Dzulkafli Mustapha serta Panglima 3 Briged Infantri, Brig Jen Datuk Azhar Ahmad juga turut hadir dalam program tersebut. -EDISI UKAS

Share

add comment