Terharu Dan Gembira Apabila Baik Pulih Rumah PPRT Siap Dan Boleh Diduduki

RABU, 10 MAC 2021

LAWAS: Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia Dato Henry Sum Agong telah mengadakan lawatan ke Kampung Long Sebangang Baru dan Kampung Pangi bagi meninjau Projek Perumahan Rumah Termiskin (PPRT). 

Projek baik pulih rumah ini di bawah Projek Perumahan Rumah Termiskin (PPRT) SAP Fasa 5/2020 di bawah peruntukan Parlimen Lawas telah pun siap sepenuhnya. 

Bagi Ikam yang mewakili suaminya, mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Lawas dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang telah memilih dan bersama menyiapkan projek baik pulih rumah ini. 

“Saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Dato Henry di atas baik pulih dan siapnya rumah kami. 

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang telah sama-sama membantu kami dalam baik pulih rumah ini yang sebelum ini sangat usang,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Lawas Dato Henry di rumahnya pada Selasa. 

Dato Henry meneruskan lawatan ke Kampung Pangi, Jalan Trusan bagi meninjau sebuah lagi rumah yang telah siap dibaik pulih di bawah PPRT Parlimen Lawas. 

Dalam lawatan itu, telah diadakan penyerahan replika kunci rumah oleh Dato Henry kepada pemilik rumah Bidin Untung bagi menandakan rumah tersebut boleh diduduki selepas ini.

Projek Baik Pulih Rumah PPRT di bawah KPLB ini dibina berkonsepkan IBS (Industrialised Building System) dengan kosnya RM58,000 setiap rumah.

Bagi Bidin yang merupakan pemilik rumah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Dato Henry yang telah banyak membantu dalam membaik pulih rumah secara percuma. 

“Saya berasa sungguh gembira kerana merupakan salah seorang penerima bantuan rumah PPRT daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar. 

“Saya mengucapkan terima kasih Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato Henry Sum Agong dan Kerajaan Sarawak kerana membantu membina sebuah rumah secara percuma,” ujarnya. 

Hadir sama Pengurus Giat MARA Lawas Faisal Adenan, Kaunselor Donnie Erwan Baru, Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri II KPLBM Steve Lius, Pengurus Khas Projek Ahli Parlimen Lawas Matius Singa dan staf Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Utara Miri. -EDISI UKAS

Share

add comment