249 Bakul Makanan Diagihkan Kepada Penduduk Di 2 Buah Rumah Panjang Yang Dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan

KHAMIS, 11 MAC 2021

BINTULU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu telah mengagihkan 249 bakul makanan kering kepada penduduk di dua rumah panjang, Rumah Garena anak Pi dan Rumah Musa Anak Asit di Batu 17 Jalan Bintulu- Miri pada Selasa.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu, Taddy Ajin berkata pengagihan makanan itu bagi membantu menyediakan makanan asas kepada penduduk terlibat.

“Penduduk di kedua-dua rumah panjang terbabit diminta bersabar dan tenang dalam mendepani musibah ini sekaligus mematuhi arahan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu dan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.

“Bantuan makanan kering itu adalah untuk tempoh dua minggu atau sehingga tamat Perintah Sekatan Pergerakan bermula 8 hingga 21 Mac ini di kedua-dua rumah panjang terbabit,” katanya semasa ditemui selepas mengagihkan bakul makanan kepada penduduk di kedua-dua rumah panjang berkenaan.

Proses pengagihan bantuan itu mendapat kerjasama kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju.

Ini merupakan kali kedua sekatan penuh pergerakan dikenakan kepada penduduk di kedua- dua rumah panjang terbabit selepas kali pertama pada 2 hingga 15 Februari lalu.

Rumah Garena anak Pi dan Rumah Musa anak Asit dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan ekoran terdapatnya kes positif COVID-19 di kawasan itu. -EDISI UKAS

Share

add comment