Ahli Parlimen Hulu Rajang Mohon Pengoperasian Balai Bomba Dan Penyelamat Di Belaga Dipercepatkan

KHAMIS, 11 MAC 2021

KUCHING: Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong memohon agar pengoperasian Balai Bomba Dan Penyelamat Malaysia di Belaga dapat dipercepatkan.

Menurut beliau, Balai Bomba Dan Penyelamat di Belaga telah siap pada 9 Januari lepas, namun belum dapat beroperasi berikutan ‘Certificate of Practical Completion’ masih belum dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tambahnya, balai bomba baharu tersebut dijangka dirasmikan pada April tahun ini namun tarikh perasmiannya masih belum ditentukan.

“Setakat ini, balai bomba tersebut belum dapat beroperasi berikutan ‘Certificate of Practical Completion’ masih belum dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Oleh itu, saya telah meminta bantuan daripada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak Tan Sri (Dr) James Jemut Masing untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Khirudin Drahman@Hussaini di Ibu Pejabat JBPM di Kuching pada Rabu.

Ujarnya, beliau turut meminta Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar), Datuk Liwan Lagang untuk berbincang dengan Sarawak Energy Berhad bagi penyambungan bekalan elektrik ke balai bomba tersebut.

Balai Bomba dan Penyelamat Belaga merupakan salah satu projek yang telah dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) Pelan Pusingan Pertama tahun 2016 bagi Daerah Belaga.-EDISI UKAS

Share

add comment