13 Mac 2021 Genap Satu Tahun COVID-19 Merebak Di Sarawak

JUMAAT, 12 MAC 2021

KUCHING : 13 Mac 2021 genap satu tahun, masa yang menyiksakan dan mencabar untuk seluruh rakyat Sarawak dalam memerangi COVID-19.

Wabak ganas ini mula menggemparkan satu dunia dengan penyebarannya yang tidak diundang pada tahun lepas.

Mengambil kesempatan dalam sidang media harian COVID-19 pada Jumaat, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berterima kasih kepada  Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas sokongan, bimbingan dan kepercayaan beliau yang tidak putus-putus kepada JPBNS dalam menangani pandemik ini.

Disamping itu Datuk Amar Douglas juga merakamkan penghargaannya kepada semua pihak, terutama petugas barisan hadapan atas kerjasama dan komitmen berterusan dalam pertempuran yang masih belum selesai ini.

Berbekalkan harapan agar Sarawak kembali pulih seperti sedia kala, beliau menyeru semua rakyat untuk bersama berganding bahu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam usaha membantu kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment