JHS Dan PGA Tumpas Aktiviti Penyeludupan Kayu Balak Haram Di Sungai Batang Rejang

JUMAAT, 12 MAC 2021

KANOWIT: Sepasukan pegawai Penguatkuasa Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) telah berjaya merampas kayu balak (kayu rakit) haram dalam satu operasi bersama di kawasan Sungai Batang Rejang di sekitar Ng. Samaram.

JHS dalam satu kenyataan media pada Rabu berkata, sebanyak 312 batang kayu balak haram (kayu rakit) pelbagai saiz dan spesis telah berjaya dirampas.

“Kayu balak (kayu rakit) haram dijadikan rakit dan dihanyutkan oleh pembalak-pembalak haram melalui Sungai Batang Rejang dengan tidak mempunyai sebarang tanda fizikal kayu balak yang diluluskan Jabatan Hutan Sarawak.

“Kes ini akan disiasat di bawah Section 96 (1), The Forests Ordinance 2015, (Chapter 71) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM25,000 dan tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-dua sekali dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes juga akan disiasat di bawah Section 97(a) ordinan yang sama dan jika sabit kesalahan, penalti akan dikenakan dua kali ganda kesalahan tersebut,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, rampasan kayu balak (kayu rakit) haram ini berjaya dilaksanakan melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan secara berterusan oleh pegawai penguatkuasa JHS di sekitar kawasan Sungai Batang Rejang.

“Nilai royalti kepada kerajaan bagi kayu rampasan ini dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya.

Aktiviti penyeludupan kayu balak (kayu rakit) ini dijalankan pembalak-pembalak haram di sekitar kawasan Sungai Batang Rejang ini dengan bantuan penduduk tempatan yang membawa dan mengiringi kayu balak (kayu rakit) haram tersebut menggunakan perahu-perahu kecil.

Sehubungan itu, JHS menyeru penduduk tempatan supaya tidak bersekongkol atau bekerjasama dengan pembalak-pembalak haram untuk menjalankan aktiviti penyeledupan kayu balak (kayu rakit) haram ini.

Sekiranya ditangkap dan didapati bersalah, hukuman berat akan dikenakan terhadap individu atau syarikat yang terlibat.

JHS turut meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai segala aktiviti kegiatan pembalakan haram yang berlaku di mana-mana kawasan hutan negeri bagi membolehkan JHS mengambil tindakan terhadap kegiatan tersebut. -EDISI UKAS

Share

add comment