Padah Palsukan Laporan Ujian COVID-19, 11 Lelaki Ditahan

JUMAAT, 12 MAC 2021

KUCHING : Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak telah menahan sebelas (11) lelaki di sekitar Kuching atas kesalahan memalsukan laporan ujian COVID-19 di klinik kesihatan swasta baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintenden Maria Rasid, daripada jumlah itu, tiga (3) suspek masih dalam siasatan, dan lapan (8) daripadanya telah dibebaskan dengan jaminan.

“Pihak Polis memang memandang serius isu-isu penipuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 kerana ia membahayakan kesihatan orang ramai. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang,” katanya ketika berucap dalam sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama tegasnya, premis-premis kesihatan atau makmal yang menawarkan ujian saringan COVID-19 juga perlu bertanggungjawab dan tidak melakukan sebarang penipuan terhadap laporan saringan.

Hal ini kerana, tindakan sedemikian akan memudaratkan kesihatan rakyat Malaysia sekiranya seseorang individu itu didapati positif COVID-19.

“Seksyen 420 kanun kesiksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari 1 tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat serta dikenakan denda,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment