PKPD Kampung Skim Penempatan Semula Sentosa Fasa 2 Sibu Tamat, PKPB Sarawak Dilanjut Hingga 29 Mac 2021

JUMAAT, 12 MAC 2021

KUCHING : Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Ugah Embas pada Jumaat mengumumkan penamatan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Skim Penempatan Semula Sentosa Fasa 2, Sibu.

Jelasnya, ia berikutan tiada penularan jangkitan yang dilaporkan di kawasan tersebut.

“Tempoh PKPD di Kampung Skim Penempatan Semula Sentosa Fasa 2, Sibu ditamatkan memandangkan keputusan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif yang baharu,di samping tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan tersebut,” katanya dalam Sidang Media JPBNS di Kuching.

Turut diumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sarawak sehingga 29 Mac 2021.

“Setelah melihat dan menilai situasi kes positif di Sarawak masih tinggi, JPBNS telah memutuskan untuk melanjutkan PKPB di Sarawak, berkuatkuasa 16 Mac 2021 jam 12.01 pagi hingga 29 Mac 2021 jam 11.59 malam (14 hari),” tambahnya. -EDISI UKAS

Share

add comment