Tiga Kluster COVID-19 Baharu Diisytihar, Kluster Bintang Daily Tamat

JUMAAT, 12 MAC 2021

KUCHING : Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Ugah Embas memberitahu, terdapat tiga kluster COVID-19 baharu diisytiharkan pada Jumaat iaitu Kluster Jalan Main Bazaar, Kluster Buluh Pasi dan Kluster Sena.

Penambahan tersebut menyebabkan jumlah keseluruhan kluster yang masih aktif meningkat kepada 28.

“Kluster Jalan Main Bazaar merupakan satu kluster komuniti yang telah berlaku di sebuah kampung di Jalan Main Bazaar, di daerah Sri Aman melibatkan sebuah keluarga yang kemudian merebak melibatkan pelajar sekolah di sebuah Sekolah Menengah di Sri Aman”

“Kluster Buluh Pasi merupakan kluster komuniti yang telah dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Buluh, Jalan Pasi di daerah Meradong dalam bahagian Sarikei Sarawak”

“Kluster Sena merupakan satu kluster komuniti yang telah dikesan di daerah Miri, Sarawak yang melibatkan kontak rapat kepada kes indek di Lorong Sena di Desa Senadin, Permyjaya dan dua buah rumah panjang di daerah Subis,” katanya ketika berucap dalam sidang media JPBNS di Kuching.

Beliau turut mengisytiharkan, penamatan Kluster Bintang Daily di daerah Meradong, bahagian Sarikei setelah tiada kes baharu dikesan melibatkan kluster ini. -EDISI UKAS

Share

add comment