Pelbagai Pihak Tampil Bantu Keluarga Mangsa Serangan Buaya

SABTU, 13 MAC 2021

DALAT: Pelbagai pihak tampil untuk membantu keluarga Julia Jaidil selepas suaminya menjadi mangsa serangan buaya di Sungai Oya pada 6 Mac lepas.

Pada Jumaat, Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak merangkap ADUN Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah melawat keluarga itu untuk menyampaikan bantuan.

Menurut Dato Sri Fatimah, bantuan diterima Julia sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tabung Baitulmal, Pusat Khidmat Dalat dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan yang kita berikan adalah di bawah Skim Bantuan Kanak-Kanak dan jumlah yang diterima adalah sebanyak RM700 sebulan dan ini akan diterima mulai bulan April.

“Sebelum bantuan secara bulanan diterima pada April, Tabung Bantuan Segera secara ‘One-Off’ sebanyak RM300 dalam bentuk makanan asas dan bantuan sekolah ‘One-Off’ RM270 akan diberikan,” katanya ketika ditemubual.

Katanya, bantuan daripada Tabung Baitulmal berjumlah RM650 sebulan akan mula disalurkan kepada keluarga itu pada Mac ini dan disusuli dengan pembayaran secara tiga bulan sekali.

Selain itu jelasnya, Tabung Baitulmal juga menyediakan bantuan persekolahan sebanyak RM400.

Menurut Dato Sri Fatimah, Pusat Khidmat Dalat turut menyumbang bantuan persekolahan sebanyak RM200.

Menjelas lanjut, JKM katanya juga sedang menguruskan permohonan Tabung Amanah Serangan Binatang Buas Malaysia di mana keluarga itu akan menerima bantuan sebanyak RM20,000.

Bagi meringankan beban keluarga itu, Buddhist Association telah menyumbang dua buah basikal untuk anak mangsa bersekolah.

Dato Sri Fatimah dalam pada itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan bersama-sama pasukan SAR untuk mencari mangsa. – EDISI UKAS

Share

add comment