Kompleks Pejabat Daerah Bau Yang Baharu Dijangka Beroperasi Mei Depan

ISNIN, 15 MAC 2021

BAU: Kompleks Pejabat Daerah Bau yang baharu dijangka mula beroperasi pada Mei depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, bangunan baharu tersebut dibina menerusi Projek Rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak.

Malah katanya, majlis perasmian pejabat baharu Pejabat Daerah tersebut dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Tujuan lawatan ini adalah bagi meninjau kerja-kerja pembinaan fizikal di tahap terakhir. Kita tidak mahu bangunan ini siap secara fizikal tetapi dari segi pengoperasiannya tidak lengkap.

“Tahun ini genap 90 tahun bangunan lama Pejabat Daerah Bau yang dibina pada tahun 1931 dan semua operasi dijangka berpindah ke bangunan baharu kelak adalah pada Mei tahun ini,” katanya.

Terdahulu beliau telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pejabat baharu tersebut di Pejabat Daerah Bau pada Isnin.

Hadir sama dalam lawatan tersebut adalah Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam, dan wakil agensi kerajaan dari Pejabat Residen Kuching, Unit Pentadbiran, Jabatan Ketua Menteri, Perbendaharaan Negeri Sarawak, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Bau.-EDISI UKAS

Share

add comment