Penangguhan Pembukaan Sesi Persekolahan Bersemuka Sekolah Rendah Di Daerah Miri Berkuatkuasa 15 Hingga 22 Mac 2021

ISNIN, 15 MAC 2021

MIRI: Penangguhan sesi persekolahan secara bersemuka di Daerah Miri yang sepatutnya tamat pada 14 Mac akan disambung semula sehingga 22 Mac 2021. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Ahad berkata, satu mesyuarat telah diadakan bersama jabatan dan agensi berkaitan dengan keputusan penangguhan ini telah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak. 

“Sejak Sabtu, saya telah menelefon 21 orang Guru Besar Sekolah Rendah, tiga orang daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), beberapa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan juga ibu bapa di Daerah Miri untuk mendapatkan pendapat serta reaksi mereka. 

“17 orang guru besar berpendapat bahawa sesi persekolahan bersemuka harus ditangguhkan memandangkan keadaan peningkatan kes di Daerah Miri dan daerah ini masih lagi dalam Zon Merah,” katanya. 

Selepas mendengar dan berbincang dengan teliti serta mendapat persetujuan daripada semua ahli mesyuarat, dan selepas berbincang dengan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak JPBB Miri membuat keputusan menangguhkan sesi persekolahan bersemuka bagi sekolah-sekolah rendah di Zon Merah (Daerah Miri dan Subis).  

Tambah Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak, keputusan akan dikaji semula dalam masa satu minggu, manakala, sekolah-sekolah rendah di Daerah Marudi, Telang Usan dan Beluru akan beroperasi seperti yang dirancangkan. 

Dalam kenyataan sama, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri memaklumkan bilangan kes positif pada 14 hari yang lalu melibatkan pelajar sekolah rendah berumur 7 hingga 12 tahun adalah 19 orang manakala 18 orang pelajar sekolah menengah berumur 13 hingga 17 tahun. 

Punca jangkitan kesemua 37 kes ini merupakan jangkitan dari ahli keluarga mereka. 

Bagi kontak rapat, terdapat 60 orang dari lingkungan umur sekolah rendah dan 74 orang dari lingkungan umur sekolah menengah. -EDISI UKAS

Share

add comment