Pendidik Dan Pengasuh IPAKK Terima Vaksinasi Covid-19 Fasa Pertama

ISNIN, 15 MAC 2021

KUCHING: Permohonan vaksinasi bagi pendidik dan pengasuh di Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) telah diluluskan bagi fasa pertama.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah memaklumkan permohonan tersebut telah dipersetujui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak supaya pendidik dan pengasuh diberikan keutamaan sebagai petugas barisan hadapan dalam pemberian vaksin COVID-19.

“Permohonan ini dibuat dengan mengambil kira tugas pendidik dan pengasuh IPAKK yang terpaksa membuat sentuhan fizikal dengan murid semasa melakukan tugas” katanya dalam sidang media berhubung vaksin IPAKK di Kuching pada Isnin.

Setakat ini, seramai 5,703 orang pendidik dan pengasuh taska dan tadika yang berdaftar di Sarawak.

Dalam perkembangan sama, Dato Sri Fatimah memberitahu, setiap taska dan tadika yang berdaftar di negeri ini telah menerima Geran Tahunan Khas (GTK) berjumlah RM5,000 setahun.

Jelasnya, baru-baru ini kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk menambah dua lagi tujuan bagi penggunaan GTK tersebut.

“Dan tambahan pada tahun ini, dalam proses pemantauan kita ke taska dan tadika kita lihat ada perlu pembaikan kecil demi keselamatan anak-anak.

“Kemudian juga satu lagi diluluskan untuk pembelian perabot khususnya untuk membantu dalam proses pembelajaran dan barang elektrik,” ujarnya.

Justeru, beliau memberitahu permohonan boleh dilakukan mulai 15 Mac 2021 sehingga 30 April 2021 melalui pautan laman web rasmi kementeriannya di http://kwkpk.sarawak.gov.my. –EDISI UKAS

Share

add comment