Projek Kerbau di Kampung Kayu Kapor Tarikan Pelancongan Terbaru Di Bekenu Dan Jana Pendapatan Penduduk

ISNIN, 15 MAC 2021

BEKENU: Projek Kerbau di Kampung Kayu Kapor, Bekenu ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Sarawak untuk memperkenalkan Bekenu sebagai kawasan pelancongan yang mampu menjana pendapatan penduduk kampung.

Menurut Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus berkata, Projek Kerbau ini telah diperuntukan sebanyak RM510,000 pada fasa pertama untuk menyediakan keperluan asas di kawasan tersebut.

“Kita tidak dapat menawarkan daging kerbau dari Bahagian Limbang kerana Brunei Darussalam berada di tengah-tengah. 

“Dengan keadaan sedemikian ianya merasakan satu perkara yang mendesak untuk kita adakan penternakan di sebelah sini (Bekenu) bagi menampung bekalan daging kerbau di kawasan ini sahaja,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Ternakan Kerbau di Kampung Kayu Kapor baru-baru ini. 

Projek Kerbau Kampung Kayu Kapor ini sepatutnya dilaksanakan pada tahun lepas, tetapi disebabkan pandemik COVID-19 ianya dilaksanakan pada tahun ini dan hanya akan menampakkan hasil pada tahun 2022. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, Jabatan Tanah dan Survei akan membantu memperhalusi setiap isu berbangkit melibatkan tanah di Kampung Kayu Kapor tersebut agar tidak ada sebarang masalah untuk membangunkan sektor pelancongan di kawasan tersebut.

“Kerjasama yang baik daripada penduduk setempat banyak membantu jabatan dan agensi berkaitan untuk menjayakan Projek Kerbau Kampung Kayu Kapor ini.

“Malah, sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pernah datang ke kampung ini pada Februari 2019 dan memberi sokongan penuh terhadap ternakan kerbau ini yang melibatkan 200 hektar tanah,” tambahnya. -EDISI UKAS

Share

add comment