DVSS Adakan Kempen Kesedaran Dan Survelan Wabak Demam Babi Dari Menular Ke Daerah Lawas

SELASA, 16 MAC 2021

LAWAS: Sebanyak 8 buah kampung telah dilawati oleh Jabatan Perkhidmatan Vateriner Sarawak (DVSS) di Daerah Lawas bagi mengadakan Kempen Kesedaran dan Survelan Wabak Demam Babi (African Swine Fever) yang kini sedang melanda kawasan Pitas, Sabah. 

Kesemua kampung tersebut bersempadan dengan Sendumin, Sabah dan langkah proaktif perlu diambil bagi menangani masalah wabak demam babi ini. 

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah telah mengarahkan semua pintu sempadan yang berdekatan dengan Sabah iaitu CIQS Merapok dan pintu masuk laluan lain diadakan kawalan yang ketat oleh jabatan dan agensi berkaitan.

Ini bertujuan untuk memastikan sebarang kemasukan khinzir hidup mahupun produk-produk berkaitan khinzir tidak terlepas masuk ke Sarawak.

Pasukan DVSS dari Ibu Pejabat Kuching turut dikerah ke Daerah Lawas bagi membantu DVSS Lawas menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di setiap daerah mereka yang menternak khinzir secara kecil-kecilan atau backyard rearing di kampung-kampung.

Pasukan Perkhidmatan DVSS turut mengadakan lawatan bersemuka kepada semua penternak pada 8 hingga 13 Mac lepas bagi memberi khidmat nasihat serta mengenal pasti jika berlakunya tanda-tanda gejala atau simpton terhadap ternakan mereka. -EDISI UKAS

Share

add comment