‘Kuching Old Bazaar’ Bakal Jadi Destinasi Wajib Pelancong

SELASA, 16 MAC 2021

KUCHING: Kawasan ‘Kuching Old Bazaar’ atau Bazar Lama Kuching akan menjadi salah satu destinasi wajib bagi para pelancong yang mengunjungi ibu negeri ini

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kawasan tersebut telah menyaksikan banyak perubahan sejak 200 tahun sejarahnya.

Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan ‘Kuching Old Bazaar’ 2021 di Carpenter Street, Kuching pada Selasa beliau berkata, kerajaan Sarawak melalui kementeriannya mahu meletakkan kawasan itu sebagai pusat tumpuan pelancong yang datang ke Kuching selain pergi ke muzium dan tempat warisan lain.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak berharap kawasan Bazar Lama Kuching dapat diperluaskan lagi ke Jalan India termasuk juga Jalan Padungan yang dilihat sebagai salah satu komponen Kuching yang dulu.

Terdahulu, Datuk Abdul Karim dalam ucapannya berkata, beliau amat berbangga atas usaha Persatuan Komuniti Bazar Lama Kuching memelihara warisan, sejarah yang terdapat di bazaar lama itu. 

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee, dan Presiden Persatuan Komuniti Bazar Lama Kuching, Kapitan Lim Chuan Chan.- EDISI UKAS

Share

add comment