Seramai 501 Individu Dari kawasan Tringgus Jalani Ujian Calitan COVID-19

SELASA, 16 MAC 2021

BAU: Seramai 501 individu dari kawasan Tringgus yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menjalani ujian calitan COVID-19 dalam operasi pengesanan kes aktif (ACD) pada Selasa.

Pegawai Kesihatan Daerah Bau, Dr. Winnie Johnny ketika dihubungi berkata, operasi ACD yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Bau bermula pada pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari di Dewan Kampung Tringgus.

Menurutnya, operasi tersebut juga membabitkan seramai 60 orang kakitangan petugas kesihatan iaitu 40 orang dari Pejabat Kesihatan Daerah Bau, manakala 19 orang lagi dari Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

“Semua penduduk memberikan kerjasama sepenuhnya walaupun terdapat dua individu yang pada mulanya enggan memberi kerjasama tetapi selepas diberikan kaunseling dengan kehadiran anggota polis mereka akhirnya tampil dalam ujian calitan tersebut.

“Selain itu, seramai sembilan individu sahaja yang dikesan mempunyai gejala ringan dan dirawat di klinik sementara Tringgus, namun keputusan ujian calitan mereka sebelum ini adalah negatif,” ujarnya lagi.

Dr. Winnie menambah, seorang individu yang cuba memasuki kawasan PKPD berjaya dikesan dan dihalang masuk oleh petugas kesihatan kerana dikhuatiri akan mewujudkan kes import.

Turut membantu dalam pelaksanaan operasi ACD kali ini adalah kakitangan dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Tringgus. -EDISI UKAS

Share

add comment