713 Pelajar Terima Baucer Pembelian Barangan Sekolah Sumbangan Ahli Parlimen Tanjong Manis

RABU, 17 MAC 2021

BELAWAI: Seramai 713 pelajar tahun 1 hingga 6 dari lima buah sekolah Zon Tanjong Manis dalam kawasan DUN Kuala Rajang menerima baucer pembelian barangan sekolah dari Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab berjumlah keseluruhan RM35,650.

Baucer bernilai RM50 tersebut disampaikan oleh Yusuf kepada wakil semua sekolah dalam satu majlis ringkas di Dewan Serbaguna Kampung Belawai pada Rabu.

Sumbangan ini adalah untuk meringankan beban para ibu bapa dalam memenuhi keperluan barangan sekolah anak-anak.

Selain itu, Yusuf turut menyampaikan sumbangan pelitup mulut kepada lima buah sekolah untuk kegunaan seramai 970 guru, pelajar dan kakitangan.

Sekolah-sekolah terbabit ialah SK Abang Gesa, Belawai, SK Abang Buyuk, Jerijih, SK Abang Galau, Rajang, SK Tanjong Manis dan SK Bayang, Sebayang.

Pelitup mulut adalah satu keperluan yang wajib ada dan dipakai ketika negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.

Yusuf turut menasihatkan semua pelajar dan ibu bapa agar sentiasa mematuhi nasihat dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib samada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak ataupun pihak sekolah demi keselamatan semua.

Sumbangan ini membuktikan kerajaan cukup prihatin dengan keselamatan para pelajar dan warga pendidik serta kepentingan pendidikan negara diteruskan. – EDISI UKAS

Share

add comment