Datuk Amar Jaul Samion Sempurnakan Majlis Anugerah Gemilang UNIMAS

RABU, 17 MAC 2021

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sekali lagi mengadakan Majlis Anugerah Gemilang (MAGU) bertempat di Arena Gemilang, DeTAR Putra UNIMAS, pada Rabu.

Majlis disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion bersama Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Majlis kali ini menyaksikan pengiktirafan kepada 164 orang kakitangan yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 67 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) dan 28 orang staf sempena persaraan tahun 2021.

Di samping itu, terdapat 10 kategori Anugerah Akademik, 5 kategori Anugerah Pengurusan dan 2 kategori Anugerah Sukan turut diberikan kepada kakitangan yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Sijil penghargaan juga turut disampaikan kepada 14 penerima yang telah banyak memberi sumbangan kepada universiti serta mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara sepanjang tahun 2020.

Bagi kategori akademik, Anugerah Pengajaran UNIMAS telah diterima oleh Dr Rafeah Wahi dan Anugerah Ahli Akademik Harapan UNIMAS diterima oleh Dr Rosita Hamdan.

Manakala bagi kategori pengurusan pula, Besar Ketol telah dipilih sebagai penerima Anugerah Kepemimpinan Pengurusan dan Profesional dan Rosnani Gondah menerima Anugerah Kepemimpinan Pelaksana.

Di antara penerima Sijil Penghargaan MAGU 2021 adalah Profesor Dr Balbir Singh a/l Mohan Singh yang berada di kedudukan pertama di Malaysia dan 268 di dunia untuk Sub Bidang Perubatan Tropika.

Majlis tahun ini turut menghargai sumbangan dan bakti Allahyarhamah Korina Ibrahim, Pengarah Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kup (PeTARY) yang telah kembali ke Rahmatullah pada 20 Februari 2021 menerusi penyampaian Anugerah Permata Gemilang kepada waris beliau.

Allahyarhamah telah banyak memberi sumbangan bakti kepada UNIMAS amnya dan PeTARY khasnya sejak awal penubuhan UNIMAS pada tahun 1993.-EDISI UKAS

Share

add comment