Golongan Wanita Turut Kuasai Teknologi: Ketua Menteri

RABU, 17 MAC 2021

KUCHING: Golongan wanita hari ini semakin maju dan turut sama menguasai teknologi selari dengan peredaran zaman.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, peranan wanita juga amat penting dalam institusi kekeluargaan dan tidak ketinggalan menyumbang terhadap pembangunan negeri ini.

“Ini telah dilihat di mana banyak juga syarikat besar berteraskan teknologi diketuai oleh wanita, ini bermakna masa depan kita adalah cerah untuk semua manusia dan tidak terhad kepada jantina.

“Dalam hal ini saya percaya wanita Sarawak dapat memainkan peranannya” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 Sarawak (HWA21) bertemakan ‘choose to challenge’ atau wanita bangkit mendepani cabaran di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.

Justeru, bagi merealisasikan matlamat ke arah negeri maju pada 2030, beliau menjelaskan Sarawak amat menitikberatkan kelayakan dan ilmu terkini iaitu berlandaskan sistem merit.

“Sarawak kini ke arah ekonomi digital dan peranan kita akan berlandaskan sistem merit.

“Sebab itu, apabila saya merangka pembangunan  ke arah 2030 berteraskan digital, bermakna era ini adalah era yang mencabar.

“Mana  yang berjaya adalah mempunyai ilmu terkini yang boleh mengubah masa depan kita.

“Jadi sama ada NGO atau GLC, kalau mereka mempunyai latarbelakang yang sesuai dalam era baharu, mereka juga akan diletakkan dalam ‘policy making’ jelas beliau.

Turut sama menghadiri majlis berkenaan isteri beliau, Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.-EDISI UKAS

Share

add comment