Ujian Saringan Di Kampung Bintawa Tengah, Bintawa Ulu Bermula Hari Ini

RABU, 17 MAC 2021

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan melaksanakan ujian saringan bermula hari ini di Kampung Bintawa Tengah dan Kampung Bintawa Ulu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut Pengerusi JPBNS yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ujian selama empat hari itu dilaksanakan bagi mengesan jangkitan COVID-19 di kedua kampung berkenaan.

Jelas Datuk Amar Douglas, ia akan membabitkan seramai 4,200 penduduk dan 750 kediaman di kedua kampung tersebut.

Menurutnya, operasi tersebut merupakan sebahagian daripada strategi agresif untuk memutuskan rantaian penularan virus COVID-19 yang membabitkan lebih 50 petugas Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan di kedua kampung itu pada Selasa bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk di kedua kampung untuk terus bersabar dan memberi kerjasama mematuhi arahan yang ditetapkan bagi memutus penularan wabak itu.

Kampung Bintawa Tengah dan Kampung Bintawa Ulu dikenakan PKPD bermula semalam hingga 30 Mac ini selepas merekodkan 28 kes positif COVID-19 pada Isnin dan Selasa yang dikenalpasti sebagai subkluster kepada Kluster Emperoh Jambu. – EDISI UKAS

Share

add comment