Setiap Permasalahan Ada Jalan Penyelesaiannya Dan Diselesaikan Secara Perbincangan Yang Baik

KHAMIS, 18 MAC 2021

LIMBANG: Pejabat Residen Bahagian Limbang mahu memastikan apa jua perancangan dan pelaksaan projek pembangunan di Daerah Limbang akan dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

Untuk itu, jelas Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, setiap projek yang dirancang akan dikaji dan diselesaikan terlebih dahulu demi kebaikan semua pihak.

“Sekiranya ada sebarang keraguan dan rasa kurang puas hati, inilah masanya kita menyuarakan apa jua permasalahan agar ianya dapat diselesaikan secara musyawarah yakni perbincangan yang baik.

“Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) bersama dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Limbang ingin mendengar sendiri keluhan dan permasalahan yang dihadapai pemilik lot tanah yang terbabit apabila tanah-tanah mereka akan diberi pampasan mengikut kadar dan kelusan tanah yang terkandung di dalam projek tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Dialog Bagi Pelaksanaan Projek Jalan Ranggau Baru Ke Kuala Limbang di Dewan Kampung Patiambun Limbang pada Isnin. 

Dalam dialog tersebut, segala persoalan dan permasalahan mengenai pengambilan dan pampasan tanah telah dijawab oleh Pegawai JTS Bahagian Limbang.

Setiap permohonan dan cadangan akan dibawa untuk dibincangkan di peringkat atasan dan menegaskan semua keputusan akan mengambil kira pelbagai sudut dan kelulusan dari pelbagai pihak sebelum ianya dibentangkan pada Kabinet Sarawak untuk diluluskan.

Hadir sama Pengarah NRDA Dato Ubaidillah Abdul Latip, Penguasa JTS Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi, Penghulu Sahat Bagol dan Ketua Kampung Patiambun Ahmad Mail. -EDISI UKAS

Share

add comment