11 Syarikat Pengusaha Bas Henti-Henti Terima DBSPB, Pelengkap Program Tambang Bas RM1.00 Di Sarawak

JUMAAT, 19 MAC 2021

MIRI: Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan dana sebanyak RM5.6 juta setahun bagi negeri Sarawak untuk 11 buah syarikat pengusaha Bas Berhenti-Henti yang layak.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak Ripin Lamat berkata, Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti-Henti (DBSPB) dahulunya dikenali sebagai Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF) diperkenalkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Tahun 2012.

Katanya, ianya bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bas berhenti henti, tetapi juga bertujuan untuk meningkatkan persepsi dan keyakinan para penumpang bas terhadap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di Sarawak.

“Untuk mencapai sistem perkhidmatan bas yang bertaraf dunia, adalah penting bagi pihak Kerajaan untuk menyokong syarikat-syarikat pengusaha bas berhenti-henti ini bagi memastikan mereka dapat meneruskan perkhidmatan dengan cemerlang dalam industri pengangkutan awam. 

“DBSPB ini bertujuan untuk menangani kerugian dalam operasi harian para pengendali bas berhenti-henti bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan, menggalakkan mereka memulihkan laluan yang telah ditamatkan perkhidmatan dan mendorong mereka untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dengan menambah kekerapan perjalanan dan membaiki keadaan bas,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis menandatangani Perjanjian Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti-henti Negeri Sarawak Bagi Tahun 2021-2022 telah disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak  Datuk Lee Kim Shin pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Residen Miri, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pengangkutan Sarawak. 

Antara syarikat-syarikat yang layak dan disenarai pendek menerima dana tersebut adalah seperti Petra Jaya Transport (S) Sdn Bhd, Biaramas Express Sdn Bhd, Bau Transport Company Sdn Bhd, City Public Link Bus Services Sdn Bhd, Lanang Road Bus Company Berhad, Rejang Transport Sdn Bhd, Sungei Merah Bus Berhad, Teku Road Bus Co Sdn Bhd, Miri Transport Co Sdn Bhd, Miri City Bus Sdn Bhd dan Miri Belait Transport Company Sdn Bhd.

Tambah kenyataan itu lagi, DBSPB yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan ini adalah pelengkap kepada Program Tambang Bas RM1.00 yang dijalankan oleh Kerajaan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak telah melaksanakan Program Tambang Bas RM1.00 (RM1.00 Bus Flat Rate Fare) sehala di bawah Subsidi Pengangkutan Awam di Kuching, Miri dan Sibu melibatkan 50 laluan di seluruh Sarawak di mana 18 laluan adalah di Kuching, 18 di Sibu dan 14 di Miri. 

“Pelaksanaan Program ini telah bermula pada Mei 2020, sehingga Disember 2020 di mana jumlah kumulatif pengguna bas berhenti-henti adalah 1.22 juta. 

“Pada tempoh masa yang sama, sebanyak RM5.2 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Sarawak untuk pembayaran subsidi kepada 12 syarikat bas iaitu Bau Transport Co Sdn Bhd (BTC), City Public Link Bus Service Sdn Bhd (CPL), Biaramas Express Sdn Bhd, Petra Jaya Transport (S) Sdn Bhd, Sungai Merah Bus Bhd, Lanang Road Bus Co Bhd dan Rejang Transport Sdn Bhd. 

“Turut menerima Teku Road Bas Co. Snd Bhd, Borneo Amalgamated Transport Co. Sdn. Bhd, Miri Transport Co. Sdn. Bhd, Miri Belait Transport Co. Sdn. Bhd dan Miri City Bus Sdn. Bhd,” katanya. 

Oleh kerana sambutan yang amat memberangsangkan daripada pengguna bas berhenti- henti, program subsidi ini telah dilanjutkan Kerajaan Sarawak pada tahun 2021. 

Jumlah pengguna bas berhenti-henti pada bulan Januari 2021 adalah seramai 186,512 dan melibatkan jumlah subsidi sebanyak RM751,530.00. 

Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif pengguna bas berhenti-henti bagi tempoh masa 9 bulan mulai Mei 2020 sehingga Januari 2021 adalah 1.418 juta dan melibatkan jumlah subsidi sebanyak RM5.99 juta. -EDISI UKAS

Share

add comment