652 Ditahan Akibat Salah Guna Dadah Dan Substance Di Sarawak

JUMAAT, 19 MAC 2021

KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 640 kes yang melibatkan 652 tangkapan berkaitan penguatkuasaan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance bagi bulan Februari 2021.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, tangkapan tersebut merupakan hasil daripada 567 operasi yang dijalankan oleh beberapa agensi kerajaan.

“Sepanjang bulan Februari 2021, hasil daripada 567 operasi penguatkuasaan, kita berjaya menyekat sebanyak 130,612 kali penggunaan dadah dan substance terlarang dan menyelamatkan 16,360 individu bagi tempoh sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media laporan bulanan One Stop Committee menangani isu dadah dan substance di Kuching pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk berganding bahu dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance di Sarawak.

“Nasihat saya adalah supaya komuniti di Sarawak menghindari diri daripada penyalahgunaan dadah dan substance kerana jika anda sudah terjebak adalah amat sukar untuk dipulihkan,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance boleh dilaporkan melalui Whatsapp kepada Hotline JSJN ditalian 0122087222 atau Hotline AADK ditalian 0196262233 dan Hotline Kastam ditalian 1-80088-8855. –EDISI UKAS

Share

add comment