Abang Zohari Terima Dos Kedua Vaksin COVID-19 Di Stadium Perpaduan Petra Jaya

JUMAAT, 19 MAC 2021

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima dos kedua vaksin COVID-19 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching pada Jumaat. 

Beliau telah disuntik oleh jururawat Iffah Marcelina Peter Chanyi, 45 tahun yang bertugas di Klinik Kesihatan Petra Jaya (KKPJ) sejak 2014. 

Turut dibantu Jururawat Kesihatan Awam Juliet Tijun, 44 tahun berasal dari Belaga yang turut berkhidmat di KKPJ. 

Pengambilan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech hari ini telah melengkapkan pengambilan vaksin COVID-19.

Turut sama menerima dos kedua vaksin COVID-19 ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian. 

Selain itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Chin Zin Hing dan Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr. Eunice Melissa Joseph juga menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19. 

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas. 

Sebelum ini, Datuk Patinggi Abang Zohari telah menerima vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech pada 26 Februari lepas di KKPJ.

Sehingga 17 Mac 2021, sejumlah 1,223,080 telah mendaftar untuk menerima vaksinasi di bawah Program Vaksinasi COVID-19 di seluruh Sarawak. 

Daripada jumlah itu, 788,012 telah mendaftar dengan Pejabat Daerah masing-masing, sementara 435,068 individu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera. 

Vaksin COVID-19 adalah percuma untuk semua rakyat Sarawak dan mereka yang tinggal dan bekerja di sini. -EDISI UKAS

Share

add comment