ADUN Simunjan Terima Suntikan Dos Kedua Vaksin COVID-19

JUMAAT, 19 MAC 2021

SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris selesai menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Simunjan pada Jumaat.

Beliau menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan pada 26 Februari lepas dan suntikan dos kedua itu dilakukan selepas 21 hari.

Awla sebelum itu tiba di PKD Simunjan kira-kira pukul 2.30 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera sebelum dibawa ke bilik vaksinasi untuk pendaftaran dan menerima suntikan vaksin berkenaan.

Selepas menerima suntikan, beliau telah mengemaskini aplikasi MySejahtera untuk menunjukkan beliau telah melengkapi dos pengambilan vaksin COVID-19.

Beliau kemudian dibawa ke ruang pemantauan untuk menunggu kira-kira 15 hingga 30 minit bagi dipantau sekiranya berlaku reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain.

Selain ADUN Simunjan, turut menerima suntikan dos kedua pada hari sama adalah petugas-petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang juga telah menerima suntikan dos pertama pada 26 Februari lepas.

ADUN Simunjan dan petugas-petugas barisan hadapan KKM sebelum ini menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin di Daerah Simunjan. -EDISI UKAS

Share

add comment