Ahli Parlimen Limbang Dan ADUN Batu Danau Hulurkan Bantuan Makanan Kepada Kakitangan Penjara Dikenakan Kuarantin

JUMAAT, 19 MAC 2021

LIMBANG: Pusat Khidmat Parlimen Limbang dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau telah bersama memberikan sumbangan berupa bantuan makanan kepada kakitangan Jabatan Penjara Malaysia Limbang yang dikenakan perintah kuarantin. 

Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah ketika ditemui berkata, tindakan kuarantin dilaksanakan selepas ada kakitangan Jabatan Penjara Malaysia Limbang yang bertugas di Bahagian Pentadbiran telah didapati positif. 

“Susulan itu, semua kakitangan dan ahli keluarga yang bertugas di Jabatan Penjara Malaysia Limbang telah diarahkan menjalani prosedur kuarantin.

“Pusat Khidmat Parlimen Parlimen dan Pusat Khidmat DUN Batu Danau telah sama-sama membantu 36 kakitangan penjara termasuk ahli keluarga mereka yang kini sedang menjalani kuarantin di Hotel Purnama Limbang. 

“Setiap keluarga diberikan bantuan makanan “food basket” dalam RM150 setiap satu,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan Bantuan Makanan Kepada Keluarga Kakitangan Penjara Limbang Yang Menjalani Arahan Kuarantin di Jabatan Penjara Malaysia pada Khamis. 

Hadir sama ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohd Sahmoni, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang  Said dan Pemangku Pengarah Penjara Limbang Rahim Buji. -EDISI UKAS

Share

add comment