JPBB Miri Teruskan Aktiviti Rondaan Kuatkuasakan SOP PKPB, Jangan Hadiri Perhimpunan Sosial

JUMAAT, 19 MAC 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri akan terus mengadakan rondaan bagi menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, tindakan ini penting bagi memastikan orang ramai patuh kepada SOP sekaligus membanteras penularan wabak COVID-19. 

“Kami akan mengadakan rondaan yang lebih kerap, jadual penguatkuasaan kini sedang dikemaskini. 

“Tindakan ini perlu bagi memastikan orang ramai menyedari kewujudan penguatkuasa dan mereka tidak boleh leka dengan melonggarkan pematuhan SOP COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas berhubung operasi penguatkuasaan di Miri pada pagi Khamis.

Terdahulu, Datuk Lee yang juga Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri telah membuat lawatan ke Pasar Besar Krokop 10 bersama MBM dan ahli jawatankuasa JPBB Miri pada pagi Khamis bagi meninjau pematuhan SOP COVID-19 serta melihat keadaan fizikal pasar yang perlu dinaik taraf. 

Hasil tinjauan dan perbincangan bersama dengan Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, keputusan untuk menaik taraf bangunan Pasar Besar Krokop 10 telah diambil sejajar dengan keperluan peniaga di situ dan selari dengan aspek pematuhan SOP COVID-19.

Datuk Lee Kim Shin telah meminta MBM untuk menyediakan satu pelan teratur dengan menentukan aliran lalu lintas dalam pasar sementara menunggu kerja-kerja naik taraf pasar dilakukan.

Dalam perkara berkaitan, beliau turut meminta orang ramai untuk tidak menghadiri perhimpunan sosial keluarga seperti BBQ, majlis hari jadi, majlis perkahwinan atau berkumpul di pantri makan pejabat. 

Manakala, bagi majlis pengkebumian pula menghadkan kepada ahli keluarga terdekat sahaja mengikut SOP yang telah ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak. 

“Ini susulan dua kluster baru yang diisytiharkan di Daerah Miri iaitu Kluster Sena dan Kluster Jalan Merpati melibatkan kes di mana jangkitan COVID-19 adalah dikesan dari perhimpunan sosial dan tempat kerja.

“Justeru, sebarang aktiviti penganjuran majlis sosial (perhimpunan sosial) bagi Zon Merah adalah tidak dibenarkan,” ujarnya. 

Katanya, ini adalah selaras dengan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Negeri Sarawak yang telah dikemaskini pada 15 Mac 2021. 

Mesyuarat khas ini diadakan bagi membincangkan operasi penguatkuasaan di Miri yang membabitkan beberapa agensi penguatkuasa di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk dipertingkat dan digerakkan secara agresif dalam usaha memastikan orang ramai mematuhi aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19.-EDISI UKAS

Share

add comment