Mohon Semula Peruntukan Bencana Yang Pernah Dibatalkan Kerajaan PH – Hasbi

JUMAAT, 19 MAC 2021

LIMBANG: Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah akan memohon semula peruntukan bencana kepada Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan semula bantuan membina semula rumah panjang yang terbakar. 

Sebelum ini, peruntukan tersebut telah diluluskan Kerajaan Persekutuan terdahulu sebelum dibatalkan Kerajaan Persekutuan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH). 

“Kita akan cuba memohon semula peruntukan bencana RM270,000 seperti yang pernah diluluskan untuk rumah panjang ini dahulu oleh Kerajaan Persekutuan sebelum dibatalkan oleh Kerajaan PH pada 2018. 

“Saya mahu surat permohonan dahulu dan dokumen-dokumen sokongan disertakan sekali untuk kita usahakan sekali lagi,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena lawatan ke Rumah Suring, Kampung Merasam Penganan pada Khamis. 

Rumah Suring telah terbakar pada tahun 2017 dan kini kerja-kerja membina rumah panjang baharu sedang dilaksanakan di tapak baharu. 

Terdahulu, pada 25 Februari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang yang mewakili Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi telah menyampaikan bantuan atap rumah kepada 23 orang ketua isi rumah di rumah panjang ini yang merupakan peruntukkan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM69,000. 

Hadir sama ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Limbang Jangan Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Meresam Penganan Suring Auai. 

Share

add comment