Projek Pembangunan Di Kawasan DUN Kakus Berjalan Lancar, Rapatkan Jurang Pembangunan Bandar Dan Luar Bandar

JUMAAT, 19 MAC 2021

BINTULU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus terletak di kawasan luar bandar dan sangat memerlukan pembangunan yang berterusan untuk kemudahan rakyat. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata dengan adanya pembangunan ini ianya bukan sahaja merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, tetapi juga untuk kesejahteraan rakyat dalam kehidupan seharian. 

“Projek pembangunan amat penting untuk kemudahan rakyat di Daerah Tatau.

“Misalnya, Projek Pembinaan Kompleks Sukan dan trek larian merupakan projek yang amat perlu untuk dilaksanakan di kawasan Tatau.

“Ini kerana tiada tempat yang sesuai untuk menganjurkan aktiviti sukan terutamanya untuk sekolah-sekolah di daerah ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Taklimat Berkaitan Projek-Projek Pembangunan di Daerah Tatau pada Khamis. 

Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut diberikan penerangan tentang beberapa projek pembangunan lain yang telah siap dan sedang serta akan dilaksanakan di Daerah Tatau menerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA). 

Antara projek yang dimaklumkan ialah Naik taraf sistem perparitan di kawasan komersial Pekan Tatau, Projek Penyediaan Tapak dan Infrastruktur bagi Projek Pembesaran Kampung, Projek Taman Komuniti Sungai Jatan, Naik Taraf Parit Konkrit di Kampung Dagang Tatau, Projek Menaik Taraf Jalan Batang Tatau, Pekan Tatau dan Projek Membina Kompleks Sukan dan Trek Larian. 

Dalam pada itu, BDA juga bersetuju menjadikan ‘Market Kuning’ di hadapan Projek Taman Komuniti dijadikan sebagai Pusat Kraftangan Komuniti di Daerah Tatau.

Hadir sama Pengurus Besar, Lembaga Kemajuan Bintulu Muhamad Yakup Kari dan pegawai pegawai kanan dari Lembaga Kemajuan Bintulu. -EDISI UKAS

Share

add comment