Proklamasi Darurat Bertujuan Untuk Menangani Pandemik COVID-19 Dan Baik Pulih Ekonomi Negara

JUMAAT, 19 MAC 2021

KUCHING: Proklamasi Darurat seperti yang diisytiharkan oleh Yang Dipertuan Agong hanya akan berakhir pada bulan Ogos 2021.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof, perisytiharan Proklamasi Darurat ini dilaksanakan supaya penggubalan undang-undang dapat diringkas dan dipermudahkan untuk menangani krisis pandemik COVID-19. 

“Itulah yang kita dilakukan apabila dibentang kepada Yang Dipertuan Agong dan dipersembahkan untuk diisytiharkan Proklamasi Darurat dengan tujuannya hanya satu iaitu menangani krisis pandemik COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Malaysia Prihatin: Pengurusan Pandemik COVID-19 di Dewan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Petra Jaya pada Jumaat. 

Mengulas lanjut mengenai definasi Proklamasi Darurat, Dato’ Sri Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah ianya merujuk kepada kes melibatkan Datuk Stephen Kalong Ningkan lawan Kerajaan Malaysia. 

“Ini diputuskan Precouncil pada waktu itu dengan hakim-hakimnya adalah merupakan orang dari United Kingdom. 

“Kalau sekarang ini mahkamah paling tinggi di negara kita ialah Mahkamah Persekutuan. 

“Dikatakan ‘An emergency to be within that article (article 150(1) of the Federal Constitution) must be not only grave but such as to threaten the security or the economic life of the Federation or any part of it, the natural meaning of the word itself is capable of covering a very wide range of situations and occurrences, including such diverse events as was famines, earthquakes, floods, epidemics and the collapse of the civil government,” tambahnya. 

Ujarnya lagi, sekarang ini Malaysia berada dalam pandemik dan menghadapi krisis ekonomi tempatan kesan dari kedudukan ekonomi global yang terjejas. 

Menerusi Proklamasi Darurat juga, kerajaan yang ada ini akan dapat memfokuskan dalam menyelesaikan masalah pandemik dan keduanya mencari jalan bagaimana membaik pulih aktiviti ekonomi untuk pastikan rakyat mendapat kehidupan balik seperti sediakala. 

Mengenai penganjuran program ini, Dato’ Sri Fadillah dalam sidang medianya selepas berucap dalam Program Malaysia Prihatin: Pengurusan Pandemik COVID-19 menjelaskan ianya bertujuan memberikan penerangan dan penjelasan berhubung dengan pengurusan pandemik COVID-19 dan Program Vaksinasi Kebangsaan. 

“Ianya untuk memberi penerangan dan penjelasan dengan membawa semua sektor komuniti dalam negara kita daripada penjawat awam, kepimpinan masyarakat, belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) dengan kita akan mengadakan siri-siri yang serupa oleh pelbagai pihak. 

“Kalau di peringkat kita di setiap Menteri dan Timbalan Menteri akan pergi ke lapangan untuk berjumpa dengan semua lapisan masyarakat untuk memberi penjelasan berkait rapat dengan pandemik COVID-19 dan kedua berhubung kait dengan Program Vaksinasi COVID-19 yang sedang kita jalankan supaya rakyat kita faham dan akan bersama-sama untuk turut menyokong apa yang disarankan oleh kerajaan khususnya berhubung kait dengan vaksinasi di peringkat kebangsaan ini,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment