ADUN Bukit Goram Terima Dos Kedua Suntikan Vaksin

SABTU, 20 MAC 2021

KAPIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit pada Sabtu melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 bertempat di Dewan Sri Baleh.

Beliau antara 150 penerima barisan hadapan bukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menerima dos kedua suntikan vaksin jenis Pfizer itu.

Menurut Jefferson, pengambilan vaksin itu adalah selamat dan tidak memberi kesan sampingan sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

Sehubungan itu, beliau menyeru menyeru penduduk di Kapit untuk mendaftarkan diri untuk menerima vaksin untuk keselamatan diri dan orang di sekeliling.

Beliau juga mengingatkan kepada penduduk rumah panjang agar tidak terpengaruh dengan dakyah yang tidak betul berkenaan pengambilan vaksin.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program vaksinasi ini sejak dari pemberian dos pertama dulu.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit, Dr Valerie Kimberley Paterson menjelaskan program vaksinasi itu telah bermula sejak Jumaat dan berakhir pada Isnin depan.

Katanya, suntikan melibatkan barisan hadapan KKM dan bukan KKM yang telah menerima dos pertama pada penghujung Februari lepas.

Tambah beliau, berdasarkan pengamatan KKM, di sepanjang program hari ini, tiada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku yang melibatkan kesan sampingan kepada penerima-penerima vaksin.

Justeru, beliau turut menyeru penduduk di Bahagian Kapit untuk mendaftar diri sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera atau di mana-mana klinik berdekatan.

Turut menerima suntikan tersebut Residen Bahagian Kapit Nyurak Keti, Pegawai Kesihatan Bahagian Kapit Dr Hamidi Mohd Sarkawi, Ketua Sekreatariat JPBB Kapit Belayong Pok, Pegawai Daerah Bukit Mabong Douglas Pungga dan Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kapit Darrel Tiong. – EDISI UKAS

Share

add comment