Ahli Parlimen Tanjong Manis Sumbang Baucer Pembelian Barangan Sekolah Kepada 1351 Pelajar

SABTU, 20 MAC 2021

SARIKEI: Seramai 1351 pelajar dari tahun satu hingga enam dari enam buah sekolah Zon Sarikei dalam DUN Kuala Rajang menerima baucer untuk pembelian barangan sekolah sumbangan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab berjumlah keseluruhan RM67,550.

Baucer bernilai RM50 tersebut disampaikan oleh Yusuf kepada wakil dari semua sekolah dalam satu majlis ringkas di Dewan Sri Nyelong, Sarikei pada Sabtu.

Pada majlis sama, Yusuf turut menyampaikan sumbangan pelitup mulut kepada semua warga dari enam sekolah terbabit termasuk guru, pelajar dan kakitangan sekolah yang kesemuanya 1772 orang.

Sekolah-sekolah terbabit ialah SK Sungai Sentebu, SK Abang Haji Matahir, SK Agama Sarikei, SK Bukit Kinyau, SK Muara Payang dan SK Sarikei.

Secara keseluruhannya, sebanyak 17 sekolah rendah dalam kawasan DUN Kuala Rajang merangkumi seramai 2468 pelajar telah menerima baucer tersebut yang berjumlah RM123,400.

Yusuf turut menekankan kepada semua pelajar dan ibu bapa agar sentiasa mematuhi nasihat dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib samada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak ataupun pihak sekolah demi keselamatan semua.

Ia berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Sarawak kebelakangan ini yang amat membimbangkan dan atas sebab itu semua harus berwaspada dan sentiasa menjaga kebersihan serta keselamatan masing-masing.

Beliau turut menyampaikan cek sumbangan sebanyak RM5000 kepada Tabung Sukan dan Kebajikan BOMBA Sarikei. – EDISI UKAS

Share

add comment